NAMA : MEOR MOHAMAD NABEEHAN AZIM BIN YAHYA
NO. MATRIKS : KIG160041
Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana kami telah berjaya menyiapkan tugasan kami untuk kursus GIG1005, Jalinan Masyarakat ini. Pada mulanya apabila saya ditugaskan bersama kumpulan ini, saya berasa agak kekok dalam menjalankan tugas bersama ahli kumpulan ini kerana tidak mengenali antara satu sama lain. Di sini saya dapat satu pengajaran bahawa walaupun kami hanya berkenalan dalam tempoh kurang daripada 3 bulan, namun kami tetap berjaya melakukan aktiviti jalinan masyarakat ini dengan jayanya.
FASA PERANCANGAN :
Setelah beberapa kali membuat perbincangan bersama ahli kumpulan kami (Khamsatun), kami telah sebulat suara ingin menjalankan aktiviti bersama anak yatim. Kami telah menghubungi sebuah rumah anak yatim yang terletak berdekatan Tasik Titiwangsa, namun setelah berbincang dengan bahagian pengurusan rumah itu, tiada tarikh yang sesuai dengan kehendak kami. Setelah itu kami telah menghubungi rumah anak- anak yatim Amal Al-Firdaus yang terletak di Denai Alam,Shah Alam. Pihak pengurusan rumah anak yatim tersebut bersetuju untuk membenarkan kami menjalankan aktiviti bersama kanak-kanak di rumah tersebut. Dalam masa yang sama juga, kami juga telah bersetuju untuk menjalankan program bersama pelajar tingkatan 4, Sekolah Menegah Kebangsaan Presint 8(1) , Putrajaya bersama kumpulan 12.
FASA SEMASA :
Setibanya kami di rumah anak yatim Amal Al-Firdaus, kami berasa agak terkejut apabila kami harus berhadapan dengan kanak-kanak kecil yang pastinya nakal dan hiperaktif. Untuk mengawal kanak-kanak yang berjumlah 40 orang bukanlah satu kerja yang mudah. Kerenah kanak-kanak ini yang pelbagai ragam membuatkan kami agak sukar untuk mengawal mereka walaupun kami berjumlah 10 orang. Kami memulakan aktiviti kami dengan sedikit sesi pengenalan bersama kanak-kanak di situ. Segala aktiviti yang dirancang sebelum ini berjalan dengan lancar walaupun agak sukar kami menarik perhatian kanak-kanak ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti mewarna, menghafal Dua Kalimah Shahadah menggunakan pendekatan muzik, dan membuat roket kertas. Melalui aktiviti jalinan masyarakat di rumah Amal Al-Firdaus ini saya dapat pelajari bahawa untuk mengawal dan mengalih perhatian kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 4-6 tahun ini bukanlah satu perkara mudah kerana ia memerlukan kesabaran yang amat tinggi dan teknik yang berkesan.
Seterusnya ialah Program Bersama Pelajar Tingkatan 4, SMK Presint 8(1), Putrajaya. Mereka ini terdiri daripada pelajar tingkatan 4 yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir tahun dan bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun berikutnya. Tujuan program kami ini adalah untuk memberi sedikit suntikan semangat dan dedikasi kepada mereka bagi menghadapi SPM dan alam pra-universiti. Dimulakan dengan sedikit aktiviti "ice-breaking" dan seterusnya disambung dengan ceramah motivasi SPM dan Pra-Universiti yang disampaikan oleh salah seorang ahli kumpulan 12. Segalanya berjalan seperti yang dirancang. Setelah itu disambung pula dengan aktiviti membina menara tertinggi menggunakan botol dan solatape dan yang terakhir ialah aktiviti membina tempat tinggal menggunakan surat khabar. Perasaan malas dan memandang remeh tentang SPM sentiasa ada dalam diri seorang pelajar seperti mereka. Melalui program bersama pelajar tingkatan 4 ini, sedikit sebanyak telah membantu para pelajar ini bagi menghadapi SPM dan memilih hala tujuan yang tepat setelah tamat SPM. Di sini saya dapat mengimbau kenangan bagaimana saya berada di tempat para pelajar tingkatan 4 ini ketika saya di sekolah dahulu. Metod yang berkesan amatlah penting untuk menarik minat mereka ini untuk menyambung pelajaran mereka ke alam universiti terutamanya di Universiti Malaya. Sedikit rasa bangga sekiranya dapat melihat mereka ini menyambung pelajaran di Universiti Malaya.
![]() |
Bersama pelajar-pelajar tingkatan 4 SMK Presint 8(1) Putrajaya |
FASA SELEPAS :
Pelbagai perkara yang membuka mata saya ketika melakukan aktiviti jalinan masyarakat ini. Antaranya ialah pentingnya pendidikan agama yang perlu diterapkan dalam kalangan kanak-kanak kecil ini agar akidah mereka terhadap agama menjadi kukuh apabila mereka dewasa kelak. Walaupun anak yatim ini tidak mempunyai ibu bapa yang sepatutnya memberikan didikan agama kepada mereka, namun begitu kita haruslah menghulurkan tangan bagi memberikan sedaya upaya kita bagi memberikan didikan agama kepada mereka. Di samping itu, komunikasi yang baik antara manusia memainkan peranan besar dalam menjayakan aktiviti jalinan masyarakat ini terutamanya ketika berbincang dengan pihak pengurusan sesuatu tempat dan ketika menjalankan aktiviti tersebut bersama kanak-kanak ini dan para pelajar tingkatan 4 di SMK Presint 8(1), Putrajaya. Saya berharap agar kursus ini terus diwajibkan kepada para mahasiswa agar nilai-nilai murni dapat dipelari dan pengalaman yang amat berharga seperti ini dapat diperolehi.
No comments:
Post a Comment