Name : Wan Muhammad Haikal Bin Wan Abdul Ghafar
Matrics Number : KIG160119
Refleksi
Syukur alhamdulillah kerana kumpulan kami telah berjaya menyiapkan tugasan kami untuk kursus GIG1005, Jalinan Masyarakat ini.
FASA PERANCANGAN :
Kumpulan kami sering kali mengadakan perbincangan kami di perpustakaan utama Universiti Malaya. Di sana, kami telah memikirkan tentang aktiviti yang sesuai untuk dilakukan. Setiap ahli kumpulan kami masing-masing banyak memberikan cadangan yang bernas. Contohnya melakukan aktiviti sukarela di zoo atau membersihkan air terjun atau menjadi sukarelawan di Petrosains KlCC. Kami semua telah menghubungi (telefon dan emel) tempat-tempat tersebut tetapi pelbagai masalah telah timbul. Antaranya ialah, kuota sukarelawan telah penuh contohnya di zoo dan tidak mendapat balas dari pihak mereka. Namun kami tidak putus asa. Setelah beberapa kali membuat perbincangan bersama ahli kumpulan kami, kami telah sebulat suara ingin menjalankan aktiviti bersama anak yatim. Kami telah menghubungi sebuah rumah anak yatim yang terletak berdekatan Tasik Titiwangsa. Kami telah pergi ke tempat itu untuk berbincang dengan bahagian pengurusan rumah itu dan juga untuk melihat kawasan sekeliling rumah itu untuk merancang aktiviti yang sesuai untuk dibuat di rumah itu. Namun setelah berbincang dengan bahagian pengurusan rumah itu, tiada tarikh yang sesuai dengan kehendak kami. Setelah itu kami telah menghubungi rumah anak- anak yatim Amal Al-Firdaus yang terletak di Denai Alam,Shah Alam. Pihak pengurusan rumah anak yatim tersebut bersetuju untuk membenarkan kami menjalankan aktiviti bersama kanak-kanak di rumah tersebut selama 3 hari iaitu 8 jam sehari.
Dalam masa yang sama juga, kami juga telah bersetuju untuk menjalankan program bersama pelajar tingkatan 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8(1), Putrajaya bersama kumpulan 12. Sebelum pergi ke sekolah itu, kami telah berjumpa dan mengadakan simulasi tentang aktiviti yang ingin dijalankan di sekolah itu.
Saya ingin berterima kasih kepada ahli kumpulan saya kerana telah memberikan kerjasama yang sangat baik untuk meluangkan masa berjumpa dan mengadakan perbincangan kerana saya tahu kami semua sangat sibuk dengan subjek-subjek lain dan juga dengan projek-projek kolej. Saya juga ingin berterima kasih kepada kumpulan 12 kerana membenarkan kami untuk mengadakan tugasan ini bersama-sama dengan mereka.
FASA SEMASA :
Kami telah menggunakan dua kereta kepunyaan ahli kumpulan kami untuk pergi ke rumah anak yatim Amal Al-Firdaus. Setibanya kami di rumah anak yatim Amal Al-Firdaus, kami berasa agak terkejut apabila kami harus berhadapan dengan kanak-kanak kecil yang sangat nakal dan susah dikawal. Walaupun kami berjumlah 10 orang, agak sukar untuk kami menjalankan aktiviti yang telah dirancang. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang 3 hari kami di situ ialah aktiviti mewarna, melukis, menghafal dua kalimah syahadah menggunakan pendekatan muzik, membuat roket kertas dan membuat mumia menggunakan tisu. Tujuan kami memilih untuk pergi ke rumah ini adalah untuk membantu dan membimbing kanak-kanak ini dalam pembelajaran. Tetapi agak sukar untuk menarik perhatian kanak-kanak ini kerana mereka semua berada dalam lingkungan 4-6 tahun. Jadi kami mengadakan aktiviti-aktiviti pembelajaran dengan cara yang menarik iaitu menyelit unsur-unsur permainan.
Seterusnya ialah Program Bersama Pelajar Tingkatan 4 di SMK Presint 8(1), Putrajaya. Mereka ini terdiri daripada pelajar tingkatan 4 yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan akhir tahun dan bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun berikutnya. Tujuan kami mengadakan program ini adalah untuk memberi bimbingan dan sedikit suntikan semangat kepada mereka bagi menghadapi SPM dan alam pra-universiti di samping meluaskan daya kreativiti mereka. Kami memulakan hari itu dengan sesi ice-breaking. Kami telah membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan dan telah menugaskan beberapa orang fasilitator untuk setiap kumpulan. Semasa sesi itu, saya sempat juga untuk menceritakan pengalaman dan pencapaian saya kepada kumpulan saya. Seterusnya disambung dengan ceramah motivasi SPM dan Pra-Universiti yang disampaikan oleh salah seorang ahli kumpulan 12. Kemudian kami telah mengadakan satu aktiviti iaitu mereka perlu memberikan arahan tanpa bercakap. Setelah itu disambung pula dengan aktiviti membina menara tertinggi menggunakan botol.Yang terakhir ialah aktiviti membina tempat tinggal menggunakan surat khabar. Melalui program bersama pelajar tingkatan 4 ini sedikit sebanyak telah membantu para pelajar membangunkan soft skills mereka dan juga memupuk minat mereka terhadap bidang kejuruteraan.
FASA SELEPAS :
Saya telah mempelajari pelbagai perkara penting ketika melakukan aktiviti jalinan masyarakat ini. Antaranya ialah cara untuk melayan anak-anak yatim. Kita haruslah bersikap tegas supaya mereka dengar perkara yang kita cakap tetapi pada masa yang sama bersikap penyayang terhadap mereka. Pada mulanya agak sukar tetapi kami berjaya melakukannya sehingga pada saat akhir kami berasa sedih untuk tinggalkan mereka.
Di samping itu, saya belajar untuk bercakap di khalayak ramai dengan lebih yakin. Hal ini kerana kami perlu nampak yakin supaya mereka semua dengar arahan kami terutamanya pelajar-pelajar tingkatan 4 SMK Presint 8. Saya juga belajar tentang pentingnya sikap bekerjasama dalam kumpulan kerana jika tidak aktiviti-aktiviti yang kami rancang sudah tentu tidak akan berjalan dengan jayanya. Selain itu, daripada pemerhatian saya terhadap pelajar-pelajar sekolah itu saya rasa bahawa sikap bersedia untuk menghadapi cabaran sangat penting untuk setiap individu
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa subjek ini merupakan subjek yang amat bagus kerana boleh meningkatkan jati diri kami dan subjek ini juga boleh menjadi salah satu perantaraan untuk pelajar-pelajar IPTA untuk berkhidmat dan menyedarkan masyarakat dan pada masa yang sama mendorong mereka untuk menyertai dunia kejuruteraan.
No comments:
Post a Comment